Monday, September 26, 2011

Belajar cara membuat bot buatan sendiri

JOM!!
KITA BELAJAR
BUAT BOT!!
bersama Pak Lang



Selamat datang ke blog Pak Lang. Disini Pak Lang ingin menurunkan sedikit ilmu yang ada tentang membuat bot bot kecil dan juga yang bersaiz sederhana. Dengan adanya kemudahan seperti blog ini, Pak Lang ingin mengambil peluang ini untuk menunjuk ajar serba sedikit tentang 'boatbuilding' kepada sesiapa saja yang berminat. Penulisan ini adalah berpandukan kepada pengetahuan dan pengalaman peribadi Pak Lang sendiri, dan jika ada mana-mana yang terkurang bolehlah kita sama-sama memperbetulkannya.
Boatbuilding ini bermula dengan minat, diadunkan dengan masa yang terluang, sedikit modal dan juga bolehlah bertukang sesikit, serta boleh ditunjuk ajar dan menunjuk ajar kepada yang lain.
Kita tumpukan pembuatan ini dengan bahan yang selalu digunakan iaitu kayu dan fiberglass. Kayu dan fiberglass ini sememangnya bergandingan antara satu sama lain untuk menjadikan sebuah bot. Bot yang mempunyai kulit fiberglass kebanyakannya mempunyai frame (kong) kayu. Jika kita berupaya membuat frame daripada fiberglass keseluruhannya maka itu adalah jauh lebih baik, kerana tiada pereputan akan berlaku. Bot yang dibuat dari fiberglass lebih ringan dan menjimatkan minyak.

Rekabentuk (Design)

Apabila disebut tentang rekabentuk bot, kita amat teruja dengan rekabentuk yang terdapat dipasaran sekarang, tetapi rekabentuk tersebut bukan lah pilihan yang mampu diketengahkan untuk memulakan projek sulong kita. Apa yang penting ialah mengutamakan keselamatan, stability dan ringkas. Untuk mengambarkan sebuah bot yang selamat, stable dan ringkas kita ambil sebuah kotak kalis air yang lebar dan diletakkan di permukaan air, dan kita lihat bagaimana kedudukan kotak tersebut. Kotak tersebut adalah design yang paling baik bagi ketiga-tiga kriteria tadi ia itu selamat, stable dan ringkas. Walaubagaimanapun bentuk kotak tersebut boleh diperbaiki untuk mendapatkan kelajuan, iaitu dengan ditajamkan bahagian muncungnya. Untuk meluncur dipermukaan air yang berombak, bahagian hadapan dan bawah kotak tersebut perlu di 'v' kan supaya hentakan dipermukaan air dapat diminimakan, bak absorber kereta yang baik. Bagi permukaan air yang tenang kegunaan 'v' kurang diambil kira.

Oleh itu lagi banyak di ubah bentuk asal kotak tersebut, maka lagi banyak stability yang dikorbankan. Tetapi pengorbanan tersebut terpaksa dilakukan demi untuk mendapatkan kelajuan, sokongan absorber yang baik dan juga sudah tentu menjadikannya bentuk sebuah bot.

Pelan

Setelah memahami serba ringkas tentang stability yang dikaitkan dengan kelajuan tadi, kita fikirkan pula apakah yang diperlukan untuk merekacipta bot yang hendak di buat untuk kegunaan kita. Keperluan yang maksudkan ialah saiz bot, kegunaan sungai atau laut, kuasa kuda enjin dan sebagainya. Maklumat asas yang diperlukan ialah saiz, iaitu panjang dan lebar. Bagi mereka yang mempunyai pilihan untuk bermain dilaut dan disungai eloklah diambil kira untuk membuat bot yang boleh mengharungi ombak, kerana bot yang begini sesuai juga digunakan disungai. Tetapi jika kegunaannya disungai sahaja maka eloklah designnya dibuat khas untuk sungai, kerana ianya lebih stable.Katakanlah kita memerlukan sebuah bot untuk kepesisiran pantai sepanjang 12 kaki dan lebarnya 4 kaki dengan enjin sekitar 15 kuasa kuda, sesuai untuk 2-3 orang memancing.
Sebagai panduan baiklah kita survey bentuk bot yang kita inginkan. Contoh-contoh boleh dilihat dipangkalan nelayan, jeti marina atau dimajalah-majalah. Sebagai contoh kita lihat gambar berikut:-


Boat seperti ini mempunyai bentuk yang selalu kita lihat dimana-mana. Dengan bentuk haluan (bow) yang tajam dan 'v' yang ketara ianya sesuai untuk mengharung ombak yang kecil, juga sesuai untuk sungai dan tasek.
Daripada contoh bot tersebut kita telah mendapatkan gambaran bagaimana satu lines plan akan dilukiskan. Anda tak perlu risau, kerana lukisan ini akan disediakan untuk projek ini.



Lines Plan untuk boat 12kaki x 4kaki.

Berpandukan kepada lukisan diatas, kita boleh lihat bentuk boat dari arah tiga sudut, iaitu arah atas (plan view), arah sisi (profile) dan arah hadapan (end view). Mengikut tradisi, pembuatan boat yang telah dilukiskan modelnya, ianya akan dilukiskan semula diatas lantai (lofting floor)kepada saiz sebenar bot itu. Maksudnya jika bot tersebut panjangnya 40kaki maka kawasan lantai hendaklah melebihi 40kaki. Tetapi semua ini tidak perlu dibuat lagi, kerana setiap lukisan yang telah dilukis boleh diplotkan mengunakan komputer dan plotter kepada saiz sebenar yang diperlukan. Ada beberapa cara untuk kita memindahkan lukisan tersebut kepada saiz sebenar. Cara yang biasa saya gunakan ialah dengan menyimpan lukisan itu kedalam pendrive atau memori stick dan pergi buat plotting dikedai stationary yang ada plotter besar.
Bahagian yang penting untuk diplot ialah bahagian frame, iaitu dari frame 1 hinggalah frame 8 yang terdapat dilukisan berikut:-

Saya akan cuba lukiskan satu demi satu frame-frame tersebut untuk disalin oleh sesiapa yang berminat untuk mencuba membuat bot ini. Cara-cara untuk memulakan projek ini akan diterangkan satu persatu atau step by step.


Frame 1

Kita lihat pada frame 1. Frame ini ialah frame yang terletak dihadapan sekali antara 8 frame yang telah dilukiskan. Garis yang bertanda Frame 1 itu ialah bentuk frame yang akan diambil dan dipindahkan keatas sekeping plywood yang tebalnya tidak kurang dari 12mm, lebih tak apa. Ini kemudiannya akan dijadikan frame sebenar. Apa yang kita lihat dilukisan tersebut adalah sebelah sahaja frame yang dilukiskan. Oleh itu apabila saiz sebenar telah dilukiskan diatas plywood tersebut, maka ianya akan dipotong mengikut garis yang putus-putus (sila lihat lakaran dibawah), dengan memberikan kelebaran frame itu antara 2.5inci hingga 3inci. Apabila telah siap dipotong, maka ianya akan dilekapkan semula diatas plywood untuk digunakan sebagai acuan (template) bagi membuat frame yang sebelah lagi. Satelah kedua-dua nya dicantumkan, jadilah ia frame 1 yang telah siap. Perlu di ingat iaitu semasa melukiskan frame tersebut diatas plywood, segala garis-garis yang terdapat dilukisan tersebut hendaklah dilukiskan juga. Ini akan digunakan kemudian untuk menyusun kesemua frame berpandukan kepada garis-garis tersebut.


Perhatikan setelah dipotong kedua belah frame tersebut ianya dicantumkan menjadikan bentuk 'v' dan dimatikan kedudukannya dengan mengikut kepada ukuran yang diberi serta berpandukan kepada garis-garis yang ditandakan. Sebagai panduan untuk mendapatkan saiz sebenar kepada frame 1, sila rujuk kepada rajah berikut:-

Ukuran-ukuran unutk Frame 1

Cara-cara mengambil ukuran sebenar (lofting).

Kita lihat kepada lukisan di FRAME 1. Disini kita dapati ada beberapa garisan melintang dan garisan menegak. Garisan yang melintang itu dinamakan WL1, WL2, dan WL3. Garisan yang menegak itu pula ialah CL, iaitu garis tengah yang membelah ditengah-tengah bot. Garis menegak yang satu lagi itu dipanggil 'buttock' digunakan untuk mendapatkan 'fairness' didalam design kita. Kita ibaratkan garis-garis tersebut sebagai didalam kertas geraf (graph paper).

Dimulakan dengan mendapatkan kelebaran frame 1 dari garis tengah CL, dimana ukurannya ialah 369mm. Untuk mendapatkan ketingiannya pula kita ambil ukuran menegak dari WL 3 kehujung frame 1 ia itu 68mm. Pertembungan 369mm dan 68mm tersebut ditandakan (A). Seterusnya, diatas WL3 kelebaran frame 1 ditandakan juga dengan mengambil ukuran 322mm (B). Diatas WL2 pula ukuran 162mm dari garis CL juga ditandakan (C). diatas CL pula penghujung frame 1 itu ditandakan dengan mengambil ukuran 28mm dibawah WL1 (D). Selanjutnya sila lihat lukisan berikut:-
Tempat-tempat yang telah ditandakan itu A,B,C dan D adalah bentuk sebenar frame 1 yang mana garisnya akan dimulakan daripada titik A, melalui titik B, titik C dan berakhir dititik D.

Proses tersebut akan diulang bagi setiap frame-frame yang berikutnya.

Ukuran-ukuran untuk Frame 2



Ukuran-ukuran untuk Frame 3


Ukuran-ukuran untuk Frame 4




Ukuran-ukuran untuk Frame 5


Ukuran-ukuran untuk Frame 6



Ukuran-ukuran untuk Frame 7




Ukuran-ukuran untuk Frame 8
Kesemua frame-frame telah dilukiskan berserta dengan ukuran-ukurannya sekali mengikut skala sebenar. Jika lukisan tersebut dapat disalin, besarkan gambar tersebut mengikut saiz yang tertera disetiap frame. Selepas frame-frame tersebut disiapkan dan dipotong, kita sambung cara-cara menyusunnya diatas asasnya (strongback) dipost yang akan datang. Sementara itu sekiranya ada apa-apa masalah berkaitan sila postkan kepada Pak Lang. Selamat mencuba!!!!


Lines Plan untuk bot 20kaki x 5 kaki.